Sintaksis
Definisi
Setelah mempelajari tentang morfologi, fonetik dan fonologi, pelajar harus di beri pendedahan tentang bidang sintaksis. Perkataan ini mungkin janggal kepada pelajar kalau kita hendaklah jelaskan dari aspek linguistik. Bidang sintaksis ini sangat penting dalam pengajaran bahasa. Dari sinilah kita akan dapat melihat sejauhmana pelajar mampu membina ayat setelah mereka mempelajari aspek linguistik.
Menurut Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam dalam bukunya Kajian Bahasa, (1985 : 183 ), bidang sintaksis ialah mengkaji hubungan antara perkataan dengan perkataan dalam pembentukan ayat. Dalam ertikata yang lain, kajian sintaksis adalah kajian mengenai ayat. Di dalamnya termasuk juga kajian tentang frasa dan klausa. Ayat menduduki tempat yang paling atas dalam tatatingkat kajian sintaksis, diikuti oleh klausa dan frasa.
Nik Safiah et.al, (1994: 317), menyatakan sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat.
Sintaksis dalam pengajaran bahasa amat penting kepada guru kerana dari sinilah bermulanya pelajar dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan lebih berkesan. Terdapat beberapa pembentukan ayat yang diajar di peringkat sekolah rendah iaitu seperti yang di nyatakan oleh Raminah dan Rahim iaitu:
Bentuk ayat
Ayat selapis atau ayat tunggal
Ayat yang terdiri daripada hanya satu subjek dan satu predikat
Contoh :
Subjek Predikat
1. Saya guru
2. Lembu binatang
3. Dia sedang mengajar
4. Adik saya berbaju biru
Ayat berlapis
Ayat berlapis adalah ayat yang dibentuk hasil dari gabungan dua atau lebih ayat selapis. Dengan perkataan lain, ayat berlapis adalah ayat yang mempunyai dua atau lebih subjek atau predikat atau kedua-dua sekali, iaitu lebih daripada satu subjek dan predikat. Ayat-ayat selapis itu digabungkan dengan penggunaan sendi.
- Ayat berlapis yang terdiri daripada dua atau lebih subjek tetapi predikatnya sama.
Contoh :
Subjek Predikat
Dia dan adiknya sedang makan
Ibu, kakak, dan abang pergi ke bandar
Guru dan murid bekerjasama
Pen, pensel, pemadam dan kertas di atas meja
Guru dan murid membaca buku
- Ayat berlapis yang mengandungi dua atau lebih predikat tetapi subjeknya sama
Contoh :
Subjek Predikat
Saya menulis sambil mendengar radio
Pekerjaannya membeli dan menjual getah
Fatimah pergi ke pasar untuk membeli ikan dan sayur
- Ayat berlapis yang mengandungi dua atau lebih subjek dan predikat
Contoh :
- Adik bermain, ibu menjahit dan ayah membaca.
(subjek : Adik, ibu, ayah)
(predikat : bermain, menjahit dan membaca)
- Guru menyoal dan murid menjawab
(subjek : Guru, murid)
(predikat : menyoal dan menjawab)
- Daging dipotong kecil, serai ditumbuk, lada dihiris dan bawang di mayang
(subjek : Daging, serai, lada, bawang)
(predikat : dipotong, ditumbuk, dihiris, dan dimayang)
- Ayat berlapis yang subjeknya diulang dan kedua-dua ayat itu dihubungkan oleh sendi
Contoh :
Buku saya murah tetapi bukunya mahal
Bajunya merah tetapi baju saya biru
Wang saya wang kertas tetapi wangnya wang syiling.
Terdapat juga ayat-ayat berlapis yang tidak menggunakan sendi. Ayat-ayat ini dihubungkan dengan tanda koma dan didalam pertuturan ayat-ayat ini dilafazkan dengan wujudnya hentian.
Contoh :
Suaminya askar, isterinya guru.
Ayahnya professor, ibunya doktor.
No comments:
Post a Comment